09 Disember 2008

Ibadah Korban Di Bukit Beruntung

BUKIT BERUNTUNG - Ibadah korban yang menjadi tuntutan Islam sempena kedatangan Aidiladha yang disambut semalam menyemarakkan perpaduan penduduk Islam di Jalan Adenium, dekat sini.

Pengerusi Program Ibadah Korban Perumahan Jalan Adenium, Ismail Osman, 44, berkata, majlis korban dan akikah yang diadakan itu bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk selain memenuhi tuntutan agama.

“Pada tahun ini kami berjaya mengadakan ibadah korban di Surau Al-Khairiah yang baru sahaja digunakan sepenuhnya pada 13 Ramadan lalu.

“Syukur kepada Allah kerana lebih 200 ahli kariah surau berjaya mengadakan program kali kedua yang kini dijadikan acara tahunan. Mereka begitu prihatin dan sedia menyahut cabaran mengadakan ibadah mulia ini,”

Turut hadir pada program tersebut, Pengerusi Surau Al-Khairiah, Faizal Abu Bakar, Imam surau, Mohd Zabidi Kamaruddin dan Naib Pengerusi surau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan surau itu, Musa Sulaiman.

Menurut Ismail, dalam majlis tersebut seramai empat ekor lembu disembelih termasuk seekor untuk majlis akikah yang dibuat sehari sebelumnya.

Beliau berkata, program korban itu adalah kali kedua diadakan di mana tahun lalu hanya seekor lembu dikorbankan yang ketika itu dilakukan di pekarangan surau sementara sebelum siapnya surau baru yang digunakan sekarang.

“Kami gembira dengan separuh siapnya surau kekal di sini, penduduk yang beragama Islam dapat melakukan kegiatan bermanfaat termasuklah ibadah korban.

“Saya yakin tahun hadapan lebih banyak lembu dapat dikorbankan diuruskan oleh jawatankuasa surau yang dilantik baru-baru ini,” katanya.

Daging korban yang dibungkus itu juga diagihkan kepada penduduk Islam di sekitar kawasan ini. Manakala sebahagian daripadanya dimasak untuk dihidangkan kepada tetamu dalam majlis kesyukuran sempena ketibaan Aidiladha.

Pengerusi surau, Faizal Abu Bakar berkata, sambutan menggalakkan diterima ahli kariah pada ibadah korban itu membuktikan mereka mempunyai pandangan terbuka dan begitu menghayati prinsip Islam.

Menurutnya, surau yang baru beroperasi itu sememangnya memerlukan peruntukan dana tambahan kira-kira RM250,000 untuk pembinaan sepenuhnya.

“Dengan adanya majlis ini, kami dapat menyebarkan maklumat semasa mengenai status sebenar surau yang masih dalam pembinaan. Ketika ini surau digunakan itu tidak mampu menampung jemaah melebihi 300 orang.

“Kami merayu penduduk Islam dan ahli kariah menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa untuk menyiapkan prasarana surau ini sepenuhnya,” katanya.


EmoticonEmoticon